[TIDAK RASMI] PRK Ayer Kuning: BN mendahului undi awal, pos

TAPAH - Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan Barisan Nasional (BN) mendahului dengan majoriti 408 undi.

Setakat jam 6 petang, sebanyak lima daripada keseluruhan 67 saluran telah selesai dikira membabitkan undi pos dan undi awal.

Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakri memperolehi 557 undi diikuti calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek (149 undi) dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), (27 undi).

Keputusan tidak rasmi tersebut dipaparkan di Pusat Gerakan BN di Kampung Haji Tahir di sini.

Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan, sementara SPR mengeluarkan 116 kertas undi pos kepada mereka yang berhak mengundi secara pos.